Monday, December 11, 2017

Azmin jangan jadi boneka DAP, selar Noh

Oleh: NAJAMUDDIN MOHD NOR
Foto RABBANI JAMIAN
 Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didesak supaya tidak menjadi boneka dengan hanya mendiamkan diri apabila melihat satu persatu pemimpin Pakatan Harapan (PH) menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pada masa sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Noh Omar membidas pemimpin-pemimpin Melayu PH yang seolah-olah terpukau sehingga sanggup membiarkan Institusi Raja-Raja Melayu dihina dengan pelbagai kenyataan yang biadap sehingga mengguris perasaan masyarakat.

“Azmin jangan lupa dan jadi seperti kacang lupakan kulit bahawa lantikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor adalah diperkenankan oleh Duli Tuanku.

“Kenapa Azmin dan Kerajaan Selangor berdiam diri, membiarkan Sultan sendiri dihina, melihat sahaja rakan-rakan PH berlaku biadap dan kurang ajar kepada Sultan kita.

“Kami rakyat Selangor dan UMNO negeri ini akan mempertahankan kedaulatan Sultan dan perhimpunan hari ini adalah solidariti kami kepada mempertahankan Institusi Raja Selangor,” tegas Ahli Parlimen Tanjung Karang itu.

Beliau berkata demikian kepada media sejurus selesai menghadiri Perhimpunan Daulat Tuanku, di Seksyen 16 Shah Alam, Ahad.
Perhimpunan secara aman itu diadakan sebagai menzahirkan kekesalan dan mengutuk keras kenyataan biadap ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim yang telah menghina dan mencabar kedaulatan Sultan Selangor menerusi Twitternya pada 4 Disember lalu.

Lebih mendukacitakan menurut Noh, Azmin hanya mendiamkan diri kerana takut pada sekutu PH terutamanya DAP sehingga tidak langsung membuat sesuatu mempertahankan Sultan Sharafuddin.

“Inilah akibatnya bila kita bersekong dengan DAP, kita akan menjadi kuda tunggangan mereka, lebih menyedihkan apabila orang Melayu sendiri yang menghina, malah tiada pula yang membela menpertahankan Sultan kita.

“Sepatutnya perhimpunan ini dilakukan oleh Azmin untuk membela dan mempertahankan Sultan Selangor, tapi inilah yang terjadi dan mereka takut dengan DAP yang sebenarnya menguasai PH.

“Hari ini pemimpin Melayu seperti Zaid Ibrahim dan Tun Mahathir telah sewenang-wenangnya berlaku biadap menghina Sultan, nampaknya DAP bijak kerana berjaya menggunakan orang Melayu untuk memecah belahkan perpaduan kita,” selar Noh.
Sehubungan itu, Noh menjelaskan, satu deklarasi daripada UMNO Selangor akan dihantar kepada Sultan Sharafuddin dalam masa terdekat ini dan menuntut Zaid Ibrahim serta Tun Mahathir membuat permohonan maaf secara terbuka atas keterlanjuran mereka bersikap biadap kepada Institusi Raja negeri itu.

Kira-kira 5,000 rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum telah membanjiri kawasan perhimpunan dengan pelbagai sepanduk bertulis ‘Zaid barua DAP biadap’ dan ‘Tun Mahathir tutup mulut’.

Peserta himpunan yang majoriti mengenakan baju merah bertulis ‘Daulat Tuanku’ berhimpun sebagai tanda solidariti dan sokongan kepada Sultan Sharafuddin.

Turut kelihatan hadir ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor yang juga ADUN Batang Kali Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, Ahli Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi, Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Irmohizam Ibrahim, Ketua MCA bahagian Kapar Datuk Song Kee Chai dan EXCO Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-